Pada 5 Mei 2024, bertempat di Dewan Serbaguna Felda Redong, telah berlangsungnya sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Rancangan Felda Redong 01 bagi tahun 2024. Acara kali ini diadakan dengan konsep gerai makanan yang melibatkan pelbagai pihak, diantaranya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) serta Pengurusan Felda, Gabungan Pergerakan Wanita (GPW) Felda Redong, Kami Anak Felda (KAF) Felda Redong, Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Felda Redong, serta beberapa badan NGO yang lain.

Majlis yang bermula pada pukul 10 pagi dan berakhir pada pukul 2 petang ini mendapat sambutan hangat daripada seluruh komuniti Felda Redong. Semua penduduk dijemput untuk hadir memeriahkan acara ini, dan majlis turut diserikan dengan kehadiran para dif-dif undangan yang lain.

NADI Felda Redong telah diberi tanggungjawab untuk memastikan aspek komunikasi dan promosi acara berjalan lancar. NADI Felda Redong  telah menyediakan kad undangan untuk jemputan, video undangan, reka bentuk untuk banner dan bunting, serta buku program.

Antara acara penting yang berlangsung pada hari tersebut ialah meraikan bakal-bakal haji dan hajah yang akan menunaikan ibadat haji pada tahun ini. Majlis ini menjadi platform untuk komuniti menyampaikan ucapan tahniah dan doa  kepada mereka yang akan mengerjakan ibadat haji.

Selain daripada hidangan pelbagai juadah yang lazat di gerai-gerai makanan, majlis turut dimeriahkan dengan penyampaian hadiah bagi pertandingan gerai tercantik serta pertandingan pelita dan lampu semarak yang dijalankan sempena ramadhan yang lalu. Pertandingan ini bukan sahaja menambah semarak sambutan, malah menggalakkan semangat kreativiti dan kerjasama di kalangan penduduk.

Di samping itu, acara cabutan bertuah juga diadakan bagi menambah keterujaan para hadirin. Pelbagai hadiah menarik disediakan, memberikan kegembiraan tambahan kepada yang bertuah.

Keseluruhan majlis berjalan lancar dan penuh meriah, mencerminkan semangat kekeluargaan dan perpaduan dalam komuniti Felda Redong. Sambutan Hari Raya ini bukan sahaja menjadi satu platform untuk meraikan Aidilfitri, tetapi juga memperkukuhkan hubungan silaturahim dan mempereratkan lagi hubungan di kalangan penduduk Felda Redong. Semoga acara seperti ini dapat diteruskan dan dijadikan tradisi tahunan yang dinanti-nantikan oleh semua.


Pada 22 Januari 2020, rabu telah berlangsungnya Program 'Hari Bertemu Pelangan 2020' yang telah dianjurkan oleh Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Kemelah, dengan kerjasama Pejabat Felda Redong 1 di Dewan Serbaguna Felda Redong.

Program ini telah mendapat sambutan daripada komuniti Felda Redong terutamanya di kalangan B40 dan warga emas .Para hadirin yang hadir telah diterangkan oleh wakil agensi-agensi mengenai Insentif bantuan Kerajaan kepada golongan warga emas dan golongan B40, juga berkesempatan itu dibuka kuanter pendaftaran untuk hadirin menyemak nama mereka ataupun mendaftarkan nama mereka sebagai salah seorang penerima bantuan kerajaan.

Antara agensi yang terlibat di dalam program ini adalah  Felda, PERKESO, KWSP, Kementerian Kesihatan Malaysia, dan Proton Edar yang membuka kaunter pameran. Selain itu juga diadakan cabutan bertuah bagi menyerikan dan menarik orang ramai untuk berkunjung di program tersebut.


Pada Khamis, 17 Oktober 2019 bertempat di Dewan Serbaguna Felda Redong 1 telah diadakan Majlis Penyampaian Hakmilik Generasi Ke Dua Felda Redong 1. Majlis telah disempurnakan oleh YAB Dato' Dr.Sahruddin Bin Hj.Jamal, Menteri Besar Johor sempena dengan lawatan kerja beliau di Segamat.

Seramai 116 generasi ke dua Felda Redong 1 menerima hak milik melibatkan tanah berkeluasan 21.8 ekar.

Diharapkan dengan pengurniaan tanah ini, generasi kedua dapatlah membuat perubahan pada diri, keluarga serta tidak meninggalkan Felda, seterusnya bersama-sama memajukan Felda ini dengan lebih aktif dan berwawasan.


Bertempat di Dewan Solat Masjid Nurul Falah Felda Redong telah berlangsungnya Majlis Sambutan Maulidur'Rasul SAW peringkat rancangan Felda Redong bagi tahun 2020/1441H. Malis penganjuran ini telah diadakan secara bergotong- royong yang terdiri daripada Pejabat Pengurusan Felda Redong, JKKR Felda Redong, GPW Felda Redong, Badan Masjid felda Redong serta NGO yang terdapat di Felda Redong.

Semua tetamu berkumpul di kawasan tapak perhimpunan SK Felda  Redong dan mula berarak ke Masjid Nurul Falah Felda Redong dengan berselawat ke atas nabi. Majlis ini juga diserikan dengan bacaan ayat -ayat suci Al-Quran dan disusuli dengan ucapan dari Pengerusi Masjid Nurul Falah Felda Redong dan YB Dr Sulaiman Bin Mohd Nor, ADUN Kemelah

Ceramah sempena Sambutan Maulidur'Rasul SAW 1441H telah disampaikan oleh  YBhg As Sheikh Haji Md Zaini bin Mohd Salleh ,Tuan Kadi Daerah Segamat yang bertemakan "negara rahmah ummah sejahtera". Selain itu juga, turut diadakan pertandingan seperti pertandingan perbarisan bagi menyerikan majlis sambutan dan hadiah telah disampaikan  YB Dr Sulaiman Bin Mohd Nor, ADUN Kemelah.


Bertempat di Dewan Serbaguna Felda Redong telah diadakan Karnival Jom Balik Ke Felda anjuran bersama di antara MMKafalah Segamat dengan pihak Pejabat Felda Redong. Karnival Jom Balik Ke Felda telah berlangsung pada 28 September 2019 bermula dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang.

Majlis telah dirasmikan oleh YB Dr Sulaiman Bin Md Noor, ADUN Kawasan Kemelah turut hadir ke masjis tersebut adalah Tuan Haji Amat Jupri Bin Dakir, Timbalan Pengerusi JKKR Felda Redong merangkap Ketua Peneroka, Puan Hajah Rukiah Binti Rahmat, pengerusi GPW Felda Redong serta wakil dari pengurusan Felda Redong iaitu Ustaz Muhammad Hadi Bin Mahrof, SDA (U) Felda Redong.

Objektif penganjuran karnival ini lebih kepada memberi pendedahan kepada warga Felda tentang ilmu berkaitan dengan pengurusan pewarisan. Selain itu juga, memberi khidmat konsultan secara percuma kepada warga Felda agar dapat membantu di dalam penyelesaian masalah berkaitan dengan harta pusaka. Melalui program ini juga bertujuan membuka peluang pekerjaan kepada anak -anak Felda di dalam bidang pengurusan harta pusaka. Diharap impak dari program ini dapat memastikan pentadbir harta pusaka Felda dapat menjalankan tanggungjwab dengan amanah dan telus.