Menggalakkan aktiviti pelancongan merupakan satu keperluan di daerah Segamat ini. Air terjun Jeram Tinggi merupakan satu lagi pusat rekreasi dan daya tarikan pelacongan yang berpotensi untuk dibangunkan. Air Terjun Jeram Tinggi yang terletak di Jementah, Segamat merupakan destinasi perkelahan yang menjadi tumpuan ramai pada hujung minggu. Pihak Berkuasa Tempatan telah mengambil inisiatif untuk membangunkan kawasan tersebut sebagai satu daripada kawasan destinasi pelancongan.

Lokasinya berhampiran bandar Jementah di daerah Segamat Johor, kawasan perkelahan Jeram Tinggi merupakan salah satu air terjun yang terdapat di sekitar kawasan Taman Negara Johor Gunung Ledang selain Air Terjun Gunung Ledang di Sagil dan Air Terjun Asahan di Asahan, Johor.Jeram tinggi merupakan checkpoint bagi laluan dakian ke puncak Gunung Ledang atau ‘Ledang Via Jementah’ atau LVJ. Kawasan ini mempunyai potensi besar terutamanya sebagai tarikan pelancong dalam dan luar negeri yang ingin merasai suasana hutan semula jadi dan ketengan jauh dari kehiduapn di Bandar.

Meredah hutan selama kira-kira 40 minit hingga satu jam (mengikut kemampuan) dari kawasan tempat letak kereta ini, pengunjung boleh menikmati keindahan Air Terjun Jeram Tinggi yang cantik dan masih belum terusik di tengah hutan simpan. Kawasan ini terletak di kawasan Ulu Jementah. Untuk ke sini, pengunjung perlu melalui FT23 Jalan Muar-Segamat menuju pekan Jementah. Dari arah Tangkak, sebelum memasuki bandar Jementah, belok ke simpang di sebelah kiri (dari Segamat, selepas bandar, belok ke kanan) di Kampung Paya Jakas ke J45 Jalan Loji Air.

Bagi yang ingin bersantai di hujung minggu bersama keluarga, anda boleh mandi di jeram sekitar kawasan letak kereta. Kawasannya agak selesa dan bersih kerana tak begitu ramai pengunjung yang datang ke mari namun airnya tidak begitu dalam. Sekurang-kurangnya, kawasan ini selamat bagi mereka yang membawa anak-anak kecil bermandi-manda. Antara kemudahan yang ada di kawasan air terjun ini ialah wakaf rehat, laluan pejalan kaki ke air terjun, tempat letak kereta dan tandas awam.

 

 

Masa Operasi :
Dibuka sepanjang masa

 

Alamat :

Ulu Jementah,85200 Jementah, Segamat, Johor

 

No tel :

018-785 9345

 

Koordinat:

2.2539699, 103.04043